Amanat Penghujung Semester
Buat semua ahli Kelab Debat & Pidato UTeM, sempena dengan pembukaan semester baru yang akan datang, beberapa transformasi akan dilakukan dan akan dimaklumkan pada semester hadapan. Sempena dengan transformasi yang bakal dilakukan ini, kita juga akan melakukan liberalisasi dalam organisasi dan pemilihan wakil-wakil ke pertandingan debat intervarsiti. Liberalisasi ini akan berkuat kuasa pada semester hadapan, dan antara liberalisasi yang akan berlaku ialah pemilihan wakil-wakil pertandingan debat intervarsiti semester hadapan.
Liberalisasi ini merangkumi keterbukaan kepada semua tanpa mengira lama mahupun baharu, yang kita titik beratkan ialah kebolehan, tanggungjawab, kesedaran dan pengorbanan. Jadi, kepada semua ahli dan bakal ahli KDP, berusahalah dengan gigih mulai sekarang, bahagikan masa dengan bijak dan fokus betul-betul pada sasaran anda. Kalau sudah ada yang terbaik berdasarkan kriteria-kriteria ini, di mana keputusan ini akan ditentukan oleh jurulatih yang dipercayai oleh pihak pengurusan universiti, maka sebarang perasaan tidak puas hati tidak akan ditimbulkan oleh sesiapapun, termasuklah diri sendiri mudah-mudahan. Pesanan ini sebenarnya untuk memberi bayangan bagaimana transformasi dan liberalisasi pada masa akan datang.
Penutup semester ini agak mencabar kerana berlaku perubahan mendadak kerana pengurusan pasukan debat mengalami transformasi yang mengejutkan dengan ramai pendebat sudah manamatkan tahun akhir mereka di universiti ini. Sekarang, transformasi berlaku dengan peralihan tunggak pasukan debat daripada senior kepada junior mulai semester akan datang. Jadi, konsep liberalisasi ini amat tepat dengan keadaan sekarang dan akan datang di mana kemasukan pelajar-pelajar baru akan menjadi pelapis kepada organisasi debat akan datang. Sebarang kegiatan pemilihan pasukan debat untuk pertandingan akan diumumkan dan jemputan akan dilakukan untuk semua yang berminat dalam kelab debat untuk menyertai pemilihan ini, tanpa mengira latar belakang dan pengalaman.
Program debat terdekat ialah Debat Perpaduan 2009, Debat Kepenggunaan 2009, dan Promosi Minggu Haluan Siswa 2009/2010. Harapan saya agar kita semua boleh melakukan yang terbaik untuk menggerakkan dan memajukan kelab dengan lebih jauh lagi. Fokus perdebatan akan datang bukan sahaja pertandingan, bahkan hubungan baik KDP dengan kelab-kelab debat universiti lain dalam bentuk perlawanan persahabatan untuk menimba pengalaman.
Pesanan untuk semua legasi Kelab Debat & Pidato UTeM, sama-samalah kita memperbaiki diri kita dan menjadi lebih baik untuk masa akan datang. Kurangkan kerenah birokrasi dan penilaian atau hukuman melulu kerana apa yang berlaku sekarang, sudah tidak sama sebelum cuti semester dahulu, serta apa yang berlaku pada masa akan datang, tidak semestinya sama dengan masa sekarang. Jangan hanya menilai berdasarkan pendapat satu pihak kerana pandangan satu pihak hanya satu penilaian, pendapat dua atau lebih pihak merupakan penilaian yang lebih layak dan berhak.
Selamat berkuliah dan selamat memasuki semester baru. Kepada ahli yang telah bekerja, selamat menjalankan amanah dan tanggungjawab anda yang baru dipikul. Sama-samalah kita ikhlaskan niat dan betulkan langkah yang sudah tersilap selama ini.
Presiden Kelab Debat & Pidato Bahasa Melayu UTeM
0 comments:
Post a Comment